Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 : Seksyen 31

Fungsi jawatankuasa keselamatan dan kesihatan

31. Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang ditubuhkan di tempat kerja menurut seksyen 30 —

(a) hendaklah sentiasa mengkaji semula langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang di tempat kerja;

(b) hendaklah menyiasat apa-apa perkara di tempat kerja —

(i) yang dianggap oleh anggota jawatankuasa itu atau orang yang diambil kerja di tempat kerja itu adalah tidak selamat atau merupakan risiko kepada kesihatan; dan

(ii) yang telah dibawa kepada perhatian majikan; (c) hendaklah cuba menyelesaikan apa-apa perkara yang disebut dalam perenggan (b) dan, jika ia tidak berupaya berbuat demikian, hendaklah meminta Ketua Pengarah supaya menjalankan suatu pemeriksaan tempat kerja itu bagi maksud itu; dan

(d) hendaklah mempunyai apa-apa fungsi lain yang boleh ditetapkan.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 : Seksyen 30 (1)

Penubuhan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

30. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah menubuhkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut seksyen ini jika —

(a) terdapat empat puluh orang atau lebih diambil kerja di tempat kerja; atau

(b) Ketua Pengarah mengarahkan penubuhan jawatankuasa sedemikian di tempat kerja.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 : Seksyen 24

Kewajipan am pekerja yang sedang bekerja

24. (1) Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pekerja yang sedang bekerja—

(a) untuk memberikan perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakan atau peninggalannya semasa bekerja;

(b) untuk bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam menunaikan apa-apa kewajipan atau kehendak yang dikenakan ke atas majikan atau orang lain itu melalui Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya;

(c) untuk memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau pakaian perlindungan yang diadakan oleh majikan bagi maksud mencegah apa-apa risiko kepada keselamatan dan kesihatannya; dan

(d) untuk mematuhi apa-apa arahan atau langkah tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diperkenalkan oleh majikannya atau mana-mana orang lain melalui atau di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 : Seksyen 16

Kewajipan untuk membentuk dasar keselamatan dan kesihatan

16. Kecuali dalam apa-apa hal yang ditetapkan, adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk menyediakan dan seberapa kerap yang sesuai mengkaji semula pernyataan bertulis dasar amnya berkenaan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa bekerja dan organisasi dan perkiraan yang sedang berkuat kuasa bagi menjalankan dasar itu, dan membawa pernyataan dan apa-apa kajian semulanya kepada perhatian kesemua pekerjanya.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 : Seksyen 15 (1)

Kewajipan am majikan dan orang yang bekerja sendiri kepada pekerja mereka

15. (1) Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.