Latar Belakang Unit OSHE

Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM telah ditubuhkan pada Jun 2001 bagi memenuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang telah dikuatkuasakan pada 25 Februari 1994. Matlamat utama akta ini ialah untuk memupuk komitmen majikan dan juga pekerja terhadap amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Oleh itu, langkah penguatkuasaan akta ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk membendung kejadian-kejadian kemalangan dan penyakit pekerjaan di negara ini yang kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Akta ini digubal untuk melengkapi undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang telah sedia ada, seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) dan ianya telah memperkemaskan lagi kehendak-kehendak perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan mewujudkan suatu sistem penguatkuasaan yang berasaskan kepada gabungan-gabungan peruntukan-peruntukan Akta, peraturan-peraturan dan tataamalan-tataamalan industri yang disediakan melalui kerjasama kerajaan, majikan dan pekerja.  Menurut peruntukan-peruntukan di dalam Akta ini, tanggungjawab utama untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah terletak pada mereka yang mewujudkan risiko di tempat kerja dan mereka yang bekerja dengan risiko tersebut. Oleh yang demikian, golongan utama di tempat kerja yang diberi kewajipan am di bawah Akta ini ialah majikan, orang-orang yang bekerja sendiri dan pekerja di samping mereka yang merekabentuk, mengilang, mengimport dan membekal peralatan dan bahan-bahan yang digunakan di tempat kerja. Akta ini telah menggariskan beberapa langkah yang perlu diambil oleh majikan, setakat yang praktik, untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kebajikan orang-orang yang bekerja untuk mereka. Antaranya ialah mengada dan menyenggara loji dan sistem kerja yang selamat, menyusun langkah-langkah bagi menjamin keselamatan dan kesihatan dalam penggunaan, penanganan, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan, menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang perlu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerjanya, memastikan premis kerja, serta jalan masuk dan keluarnya, adalah selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan pekerja-pekerjanya, serta menyedia dan menyenggara persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk para pekerjanya. Di samping kewajipan-kewajipan am tersebut, majikan juga dikehendaki untuk menyediakan pernyataan bertulis mengenai dasar, organisasi dan susunan langkah-langkah untuk memlihara keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta dikehendaki menyebarkan dasar tersebut kepada para pekerja.  Selain daripada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139), akta-akta lain yang berkaitan dengan tugas serta tanggungjawab Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHE) ialah Akta Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), Akta Racun 1952 (Akta 366), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan lain-lain. Unit ini diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan diketuai oleh Pengarah dan dibantu oleh seorang Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) dan dua orang Penolong Pegawai Sains. Unit ini terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pemantauan dan pemeriksaan serta program- program latihan dan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan warga dan orang awam yang berurusan di UTM dan ia juga mempunyai Jawatankuasa-Jawatankuasa yang bertanggungjawab membantu aktiviti yang dirancang oleh OSHE.