Johor Bahru, 27 Februari 2025, khamis – Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) JTNC(P) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program gotong-royong mengecat perumahan di Desa Bakti, UTM Johor Bahru bagi menceriakan kawasan kejiranan serta meningkatkan keselesaan penduduk.

Program yang berlangsung pada waktu bekerja itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat serta sukarelawan yang terdiri daripada staf UTM. Aktiviti ini bertujuan memperindah persekitaran selain mengeratkan hubungan antara komuniti.

Menurut seorang penduduk, Encik Mohammad Yusri bin Mohammad Ali, program ini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada kawasan perumahan tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan jiran tetangga.

Pihak penganjur berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan persekitaran yang lebih bersih, selesa, dan harmoni untuk semua.