SKUDAI – Jambatan Terowong Johor-Karimun-Riau (Jokari) semakin menjadi kenyataan.

Mercu tanda hasil hubungan diplomatik dua negara Malaysia-Indonesia satu pembangunan projek pembinaan terowong antara Johor- Riau (Jokari) bakal direalisasikan.

Jalinan kerjasama bagi pembangunan projek itu yang diumumkan 20 Januari lalu merupakan persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Amanah Pelalawan, Indonesia.

Perancangan projek yang membabitkan pembinaan sebuah terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer dari Kukup, Pontian ke Pulau Karimun, Indonesia mendapat respons positif kedua-dua negara.

Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM, Prof Dr Azlan Abdul Rahman berkata, pembangunan yang dianggarkan membabitkan kos RM15 bilion masih di peringkat awal perlaksanaannya.

“UTM akan jadi pembantu dan pemangkin untuk jayakan kolaborasi ini. Apa yang menariknya ia akan memudahkan perjalanan dari Malaysia ke Indonesia.

“Projek ini dijangka berpotensi dan kita sedang dalam peringkat mengkajinya lagi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, meskipun ia baru diutarakan, Jambatan Terowong Jokari secara prinsipnya sudah mempunyai pelabur berpotensi yang berminat untuk pembinaannya kelak bakal diswastakan.

Jambatan Terowong itu bakal dibangunkan sejauh lima kilometer di Kukup, Pontian, di sini ke pulau buatan persendirian yang kemudian disambung dengan terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer menuju ke Pulau Karimun, Indonesia.

Kewujudan jambatan ini dijangka menyumbang kepada peningkatan tiga hingga empat peratus pertumbuhan ekonomi negara di tahun pertama dan seterusnya mencecah lima peratus selepas 10 tahun.

 

sumber: sinar harian 05/08/2014