Johor Bahru, 3 Disember 2025 – Majlis Citra Gemilang (MCG) 2025 anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada Rabu lalu,bermula  jam 1.00 petang bertempat di Dewan Kencanapuri, Pulai Springs Resort. Majlis tahunan berprestij ini tampil dengan tema istimewa “Sejiwa – Rewang Klasik Kampung” yang berjaya menghidupkan semula nilai kebersamaan, gotong-royong dan warisan budaya Melayu dalam suasana penuh harmoni.

Majlis dimulakan dengan ketibaan para tetamu yang mengenakan busana Melayu klasik, sekali gus mencerminkan penghayatan terhadap tema yang dipilih. Suasana dewan yang dihias indah berkonsepkan kampung tradisional menambahkan lagi seri majlis serta membawa para hadirin mengimbau nostalgia kehidupan bermasyarakat yang erat dan saling membantu.

MCG 2025 bukan sekadar majlis penghargaan, malah menjadi platform penting untuk meraikan kecemerlangan, dedikasi dan sumbangan warga JTNC(P) sepanjang tahun. Penyampaian pengiktirafan kepada warga kerja yang cemerlang menjadi kemuncak majlis, sebagai tanda penghargaan atas komitmen tinggi dalam memacu agenda pembangunan universiti.

Selain itu, majlis ini turut berperanan sebagai medan memperkukuh ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga jabatan. Konsep rewang yang diketengahkan melambangkan semangat sejiwa, sepasukan dan kebersamaan yang menjadi teras kekuatan JTNC(P). Gelak tawa, senyuman dan interaksi mesra jelas terpancar sepanjang majlis berlangsung.

Secara keseluruhan, Majlis Citra Gemilang JTNC(P) 2025 telah berjaya dianjurkan dengan cemerlang, meninggalkan kenangan manis serta menyemarakkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan warga jabatan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua jawatankuasa, urus setia serta warga JTNC(P) yang telah menjayakan majlis ini.

Semoga semangat Sejiwa – Rewang Klasik Kampung terus subur dan menjadi inspirasi dalam memacu kecemerlangan berterusan.
Sampai bertemu lagi di Majlis Citra Gemilang yang akan datang.

UTM Open Day