Johor Bahru, 21 Februari 2025, Jumaat – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan daripada pihak JLand Group Sdn. Bhd. ke lokasi Telaga Akuifer UTM, dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pengurusan sumber air dan kelestarian kampus.

Lawatan ini disambut oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, bersama Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA), PM Dr. Tajul Ariffin Musa, serta beberapa pegawai kanan dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) JTNC(P).

Kunjungan ini bertujuan untuk melihat secara dekat sistem telaga akuifer yang dimiliki UTM dan membincangkan potensi kerjasama dalam pengurusan sumber air lestari. Telaga akuifer UTM memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan air alternatif yang mampan dan mesra alam bagi kegunaan kampus.

Menurut Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam, UTM sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan industri bagi memperkukuh inisiatif kelestarian universiti. “Kehadiran JLand Group ke lokasi Telaga Akuifer UTM membuktikan minat pihak industri dalam meneroka teknologi sumber air lestari yang telah dibangunkan di universiti ini,” katanya.

Lawatan ini turut disertai sesi perbincangan mengenai kaedah terbaik untuk mengoptimumkan penggunaan sumber air bawah tanah serta peluang inovasi dalam pengurusan air lestari.

Dengan adanya kerjasama ini, UTM dan JLand Group berharap dapat membangunkan penyelesaian inovatif bagi pengurusan sumber air yang lebih cekap, sekaligus menyumbang kepada agenda kelestarian negara.

Foto oleh: Mzul/Yusri