JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melakar satu lagi sejarah apabila muncul universiti pertama yang memiliki telaga air akuifer sendiri di negara ini.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, perkara itu diklasifikasikan sebagai satu penemuan hebat oleh para penyelidik di universiti berkenaan yang sentiasa cuba membangunkan teknologi yang memberikan manfaat besar kepada masyarakat.

“Pihak lembaga pengarah telah mengenal pasti projek akuifer batuan untuk dibangunkan kerana kita nak tengok hasilnya, lagi pun, kita pun tak jangka (penemuan) akuifer ini.

“Ia satu penemuan yang hebat. Air yang dihasilkannya jernih, bersih dan hanya memerlukan proses penapisan taklah ‘berat’ sangat.

“Ia juga merupakan satu penemuan hebat di negara ini, mungkin boleh dicari di tempat lain tetapi kami berpendapat ia merupakan titik tolak bagi memperkasakan ekonomi tempatan secara global,” katanya pada Selasa.

Ahmad Fauzi berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan penyerahan projek Telaga Air Akuifer Batuan UTM bagi kegunaan UTM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Dr Edy Tonnizam Ahmad

Tambah Mohd Fauzi itu, air akuifer batuan akan disalurkan ke asrama-asrama pelajar bagi membantu menjimatkan kos operasi di universiti.

Sementara itu, beliau berkata, UTM juga merancang bagi mengkomersialkan lagi air akuifer batuan ini menerusi pembotolan.

Bagaimanapun katanya, proses berkenaan (pembotolan) mungkin memakan masa atau dalam setahun perlu dapat kelulusan daripada kerajaan, KKM, Halal.

Kredit : Sinar Harian 5 Disember 2023