JOHOR BAHRU, 25 September 2025 — Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Perarakan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) atas kejayaan membanggakan apabila berjaya merangkul Naib Johan dalam Majlis Perarakan Semarak Cinta Rasul Peringkat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 1447H/2025M.

Majlis yang berlangsung pada 25 September 2025 ini telah dianjurkan oleh Pusat Islam UTM dengan kerjasama pelbagai pusat tanggungjawab universiti, bertujuan menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul serta memupuk rasa kecintaan dan penghayatan terhadap sirah dan akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam kalangan warga kampus.

Pelbagai jabatan, fakulti dan pusat tanggungjawab UTM telah mengambil bahagian dalam perarakan yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah. Kejayaan pasukan JTNC (Pembangunan) ini merupakan hasil komitmen tinggi, disiplin, serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua ahli pasukan sepanjang tempoh persiapan dan latihan.

Persembahan yang tersusun, kreativiti formasi perarakan serta semangat berpasukan yang tinggi telah berjaya menarik perhatian panel juri, sekali gus melayakkan pasukan ini dinobatkan sebagai Naib Johan dalam pertandingan berprestij tersebut.

Menurut wakil pasukan, pencapaian ini bukan sahaja menjadi satu pengiktirafan terhadap usaha kolektif warga jabatan, malah menjadi pembakar semangat untuk terus menyokong dan menyertai program-program kerohanian serta kebudayaan yang dianjurkan oleh universiti pada masa akan datang.

Majlis Perarakan Semarak Cinta Rasul ini bukan sekadar sebuah pertandingan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan warga UTM serta menyemai nilai-nilai murni berteraskan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Sekali lagi, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Pasukan Perarakan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) atas pencapaian cemerlang ini. Semoga kejayaan ini terus menjadi inspirasi dan pemangkin kecemerlangan warga UTM secara keseluruhan.

UTM Open Day