“Memperkasa Sinergi, Menyemai Sejahtera”

JOHOR BAHRU, 3 Julai 2025 – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Sejahtera ISES JTNCP 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), UTM. Program ini membawa tema “Memperkasa Sinergi, Menyemai Sejahtera”, yang mencerminkan komitmen jabatan dalam mengukuhkan kerjasama strategik serta memupuk kesejahteraan dalam persekitaran kerja dan komuniti universiti.

Majlis telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), yang menekankan kepentingan sinergi antara jabatan dan fakulti dalam memperkasakan agenda pembangunan mampan universiti. Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menyeru semua warga universiti agar terus berinovasi dan bekerjasama dalam mencipta ekosistem kerja yang harmoni dan produktif.

Sesi pengisian utama diteruskan dengan syarahan khas oleh Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, Mantan Naib Canselor UTM, yang berkongsi pandangan dan pengalaman beliau mengenai nilai kepimpinan, kesejahteraan organisasi, serta cabaran masa hadapan dalam pengurusan pembangunan institusi pengajian tinggi.

Program turut dipandu dengan cemerlang oleh En. Mohd Herme Yusman bin Mohd Tahir, Ketua Pentadbiran JTNC(P), yang bertindak sebagai moderator sesi. Perbincangan yang berlangsung memberi impak positif dan membuka ruang kepada pertukaran pandangan yang konstruktif antara barisan pengurusan dan peserta yang hadir.

Penganjuran Sejahtera ISES ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jabatan dalam memperkukuh nilai teras universiti melalui aktiviti pembangunan insan dan jaringan sinergi yang lebih kukuh, seiring dengan aspirasi UTM sebagai universiti terkemuka bertaraf global.