Skudai, 13 Mac 2025 – Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi saksi kepada satu majlis berbuka puasa yang penuh keberkatan dan kemeriahan anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), JTNC(P) UTM.

Majlis yang berlangsung pada hari Khamis itu telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM.

Majlis ini turut dihadiri oleh warga UTM termasuk staf akademik, pelajar, serta masyarakat setempat yang bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa. Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti tazkirah Ramadan, Selawat, solat Maghrib berjemaah, dan sesi ramah mesra antara tetamu yang hadir.

Menurut salah seorang peserta, majlis ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menghayati bulan Ramadan dalam suasana penuh kebersamaan dan keinsafan.

Pihak penganjur berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh ikatan ukhuwah serta menanam nilai kebersamaan dalam kalangan warga UTM dan masyarakat sekitar.