PROGRAM RASMI
Rabu, 8 April 2026 | Bahagian Pemajuan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM Kuala Lumpur
Majlis Apresiasi Bersama Penyumbang dan Pelajar Program UTM Serambi Al-Quds

Majlis Apresiasi ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada para penyumbang yang telah menyokong pelaksanaan Program UTM Serambi Al-Quds, iaitu satu inisiatif yang memfokuskan kepada pemerkasaan pendidikan dan nilai kemanusiaan sejagat, khususnya kepada pelajar dari Palestin. Program yang dilancarkan pada tahun 2022 ini menawarkan sepuluh biasiswa pengajian di peringkat Doktor Falsafah.
Majlis ini turut dihadiri oleh Tan Sri Azman Hj. Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Amanah Endowmen UTM, yang mencerminkan sokongan berterusan terhadap agenda endowmen universiti serta peranannya dalam memperkasa pendidikan global.
Dalam ucapannya, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim merakamkan penghargaan kepada para penyumbang atas komitmen yang diberikan, sambil menegaskan bahawa sumbangan tersebut merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan dan masa depan ummah.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja membuka peluang pendidikan kepada pelajar Palestin, malah memperkukuh peranan UTM sebagai institusi pendidikan global yang prihatin terhadap isu kemanusiaan, di samping mengeratkan hubungan strategik antara universiti, penyumbang dan pelajar.
