LATAR BELAKANG
Seksyen Harta Tanah (SHT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ditubuhkan pada 18 Mei 2016, dahulunya dikenali sebagai Unit Pentadbiran Tanah (UPT) melalui Mesyuarat Pengurusan Universiti Bil.10/2016. Tujuan penubuhan unit adalah untuk mentadbir urus harta tanah UTM secara berpusat. Fokus utama UPT pada Ketika itu adalah untuk menguruskan cukai tanah dan cukai harta, menyelaras Pembangunan tanah dan urusniaga, pengawalan persempadanan tanah dan pematuhan kepada peraturan dan penguatkuasaan undang-undang tanah berdasarkan perundangan sedia ada.
Peringkat awalnya unit ini ditempatkan di Bahagian Pembangunan, Pejabat Harta Bina dengan kekuatan anggota seramai 3 orang staf. Bermula pada 01 Januari 2018, unit ini ditempatkan di Bahagian Pengurusan Perniagaan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus aset tanah hakmilik UTM di Negeri Johor dan di Kuala Lumpur. Selari dengan perkembangan skop dan tanggungjawab yang diberikan oleh Universiti maka staf unit ini telah bertambah seramai 13 orang secara berperingkat menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai 16 orang.
Seksyen Harta Tanah terdiri daripada tiga (3) unit di Johor (UTM Johor Bahru [UTMJB]) dan satu (1) unit di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (UTM Kuala Lumpur [UTMKL]). Unit-unit ini memainkan peranan penting dalam pengurusan menyeluruh harta tanah Universiti. Di UTMJB, terdapat Unit Perancangan dan Pemajuan Tanah, Unit Pentadbiran Tanah, serta Unit Geodata dan Persempadanan. Di UTMKL, terdapat Unit Pentadbiran dan Pemajuan Tanah.
Seksyen Harta Tanah kini memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan hartanah universiti di negeri Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilaksanakan dengan teliti dan berkesan. Ia bertanggungjawab dalam pentadbiran, perancangan, pemetaan, serta pemajuan tanah, dengan matlamat untuk mengoptimumkan penggunaan aset hartanah universiti. Dengan kehadiran unit-unit khusus di bawahnya, Seksyen Harta Tanah berfungsi sebagai pemacu utama dalam memastikan harta tanah universiti diurus dengan penuh integriti dan profesionalisme, selaras dengan visi dan misi strategik UTM.