
Pada 10 Oktober 2024, Ketua Unit Perancangan dan Pemajuan Tanah, En. Suhaizan, telah mengalami kemalangan ketika menuruni bukit dari Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim di dalam kampus UTM dengan menaiki basikal. Akibat kejadian tersebut, beliau mengalami dislokasi sendi bahu kiri, patah kaki kiri, serta luka kecil di beberapa bahagian badan. En. Suhaizan telah menerima rawatan awal di Pusat Kesihatan Universiti sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut. Beliau telah ditempatkan di wad dari 10 Oktober hingga 19 Oktober 2024, sebelum dibenarkan pulang ke rumah bagi menjalani proses pemulihan.
Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan, satu lawatan kebajikan telah diadakan pada 23 Oktober 2024 oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad, Timbalan Naib Canselor Pembangunan (TNCP), Ir. Norhashimah binti Hj. Hashim, Pengarah Seksyen Harta Tanah (SHT), serta staf SHT. Dalam lawatan ini, wakil jabatan telah menyampaikan sumbangan wang tunai bagi membantu meringankan beban beliau sepanjang tempoh pemulihan.
Seluruh warga Seksyen Harta Tanah dan JTNCP mendoakan agar En. Suhaizan segera sembuh, diberi kekuatan dalam menghadapi ujian ini, serta kembali pulih sepenuhnya untuk meneruskan tugas seperti biasa. Semoga beliau terus diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.