Pada 1 Januari 2025, Seksyen Harta Tanah telah mengadakan Sesi Menyelami Seksyen Harta Tanah, bertujuan untuk mendalami permasalahan dalaman pejabat, merancang hala tuju kerja, memahami tugasan setiap staf, serta mengenal pasti peluang penambahbaikan. Sesi ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bin Mohamad, bersama barisan pegawai pengurusan tertinggi Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan (JTNCP).
Dalam sesi ini, staf diberikan ruang untuk bertukar pandangan secara terbuka mengenai cabaran yang dihadapi, termasuk aspek operasi, penyelarasan tugas, serta keperluan sumber bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan harta tanah. Keunikan sesi ini adalah dengan keputusan untuk meminta Pengarah Seksyen Harta Tanah keluar daripada Dewan Senat sepanjang sesi berlangsung, bagi membolehkan staf menyuarakan pandangan secara lebih bebas dan telus.
Perbincangan ini membuka peluang kepada setiap staf untuk menyampaikan idea dan cadangan bagi meningkatkan kecekapan kerja, memperkemaskan sistem sedia ada, serta mewujudkan suasana kerja yang lebih produktif dan kondusif. Hasil daripada sesi ini, beberapa isu telah dikenal pasti untuk tindakan lanjut, termasuk strategi memperbaiki komunikasi dalaman, pengagihan tugas yang lebih efektif, serta keperluan sokongan tambahan dalam aspek teknikal dan sumber manusia.
Sesi ini diharap dapat menjadi satu platform berterusan dalam memperkasakan peranan Seksyen Harta Tanah dan memastikan setiap staf dapat melaksanakan tugas dengan lebih efisien demi kecemerlangan pengurusan aset dan harta tanah UTM.