Jawatankuasa Kelestarian Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Sambutan Hari Landskap Negara 2026 pada 7 Ogos 2026 (Jumaat) bertempat di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka. Lawatan ini telah disertai oleh 37 orang warga kerja JTNCP termasuk daripada Pejabat Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Bahagian Pengurusan Aset; Seksyen Kelestarian dan Keindahan Kampus; Seksyen Penyenggaraan Fasiliti dan Infrastruktur; Seksyen Kontrak dan Perolehan; Seksyen Perkhidmatan dan Pejabat Keselamatan Persekitaran dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE).
Sambutan yang berlangsung selama empat hari mulai 6 Ogos 2026 dengan tema “Landskap Lestari Malaysia MADANI” berjaya menarik kira-kira 80,000 pengunjung. Pelbagai aktiviti, pertandingan serta pameran berkaitan landskap turut diadakan melibatkan pelajar sekolah, komuniti dan institusi. Antara yang menjadi perhatian pengunjung adalah Laman Pihak Berkuasa Tempatan yang menampilkan kreativiti pempamer dalam menonjolkan keunikan landskap dan identiti tempatan.
Lawatan ini memberi pendedahan kepada staf JTNC(P) mengenai amalan kelestarian landskap, inovasi hijau serta pengurusan persekitaran yang mampan, di samping mendapatkan idea dan inspirasi baharu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memperkukuh jaringan dengan agensi luar.
Secara keseluruhannya, peserta berasa gembira dapat menyertai lawatan ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Semoga perkongsian ilmu dan pengalaman melalui lawatan ini dapat menyokong usaha JTNC(P) dalam memperkukuh agenda kelestarian, kehijauan dan keindahan persekitaran kampus UTM.
