Pada 23 Mac 2025 (Ahad), UTMAlumni telah mengadakan program libatsama bersama Alumni UTM Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) Kerteh 2025. Seramai 40 orang alumni UTM yang berkhidmat di Petronas Kerteh telah menghadiri program ramah mesra tersebut yang berlangsung di Resorts World Kijal, Terengganu.
Hadir sama dalam program ini ialah YBhg. Dato’ Hj. Ahmad bin Che Abdullah Pengerusi Persatuan Alumni UTM Cawangan Negeri Terengganu, YBrs. Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah binti Suratman Pengarah Endowmen Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, YBrs. Prof. Madya Dr. Syed Norris Hikmi bin Syed Abdullah, Pengarah Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi (UTMXCITE) mewakili YBrs. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, YBrs. Ir. Ts. Muhamad Sahir Bin Ahmad Shatiry, PETRONAS CHESS Uni Team Lead dan YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hisyam bin Rasidi, Pengarah UTMAlumni.
Program yang telah berlangsung diserikan lagi dengan sesi cabutan bertuah hadiah tajaan unit Endowmen UTM dan sesi perkongsian oleh wakil alumni UTM Petronas Kerteh. Sebagai penghargaan, pihak UTMAlumni menyampaikan cenderamata kepada tetamu jemputan khas sebagai tanda terima kasih di atas kesudian hadir ke progam ini.
Pertemuan ini diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan sesama alumni dan juga universiti disamping dalam usaha membina jaringan kerjasama pada masa akan datang. Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua para alumni yang sudi meluangkan masa hadir ke program ramah mesra ini. Diharapkan pertemuan ini menjadi platform bagi kerjasama strategik bagi manfaat bersama.


