Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui UTM Career Centre dengan kerjasama UTMAlumni komited dalam memperkasakan graduan UTM agar mampu bersaing dengan lebih hebat dalam pasaran kerja kelak.
Terbaharu, sebuah bengkel latihan, Freehand Visualization Skills (FVS) telah dilaksanakan untuk membentuk kemahiran kreativiti dan inovasi melalui kemahiran visualisasi lakaran dengan menampilkan salah seorang alumni UTM, Dr. Ruzaimi Mat Rani yang kini merupakan CEO Cluebee Sdn. Bhd. dan founder kepada jenama Drawzania.
Bengkel latihan FVS ini dilaksanakan di bawah inisiatif Program UTM Get Hired 2021, iaitu sebuah program anjuran UTM Career Centre yang dijalankan dalam usaha menyediakan latihan-latihan yang bersesuaian kepada graduan sebagai persediaan ke alam pekerjaaan.
Program ini diberikan secara percuma kepada graduan yang terpilih yang terdiri daripada pelbagai bidang pengajian di UTM.
Bengkel latihan FVS ini melibatkan 20 orang graduan pra siswazah dan pasca siswazah tempatan dan antarabangsa. Program selama satu hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada graduan dalam menzahirkan idea secara efektif dan kreatif. Kemahiran menzahirkan idea ini sangat berkait rapat dengan kemahiran komunikasi visual.
Tanpa kemahiran ini ia menyebabkan berlakunya komunikasi yang tidak berkesan dan akan mempengaruhi prestasi dan produktiviti graduan.
Ddalam bengkel Latihan FVS ini, peserta menjalani 3 modul latihan iaitu asas kepada Freehand Visualization Skills (FVS), Teknik FVS dan Aplikasi FVS dalam kehidupan seharian. Diakhir bengkel ini, diharapkan ia dapat membantu graduan dalam memahami dan mempraktikkan teknik serta aplikasi FVS.
Unit UTMAlumni juga sentiasa komited dalam membantu universiti daripada aspek program pembangunan mahasiswa atau graduan dalam membentuk laluan kerjaya mereka.
Semoga inisiatif yang dijalankan oleh UTM ini dapat membuahkan hasil dan membantu graduan untuk lebih cemerlang pada masa hadapan.