Menjadi sebahagian daripada Universiti adalah satu pengalaman yang tidak ternilai. Meninggalkan universiti setelah menamatkan pengajian terus melayakkan graduan bergelar alumni. Sehingga kini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai lebih kurang 166,276 alumni lokal dan 7503 alumni antarabangsa.

Alumni ini bertebaran di seluruh pelosok negara menyumbang bakti kepada masyarakat mengikut kepakaran dan kemahiran masing-masing. Tidak ketinggalan, alumni antarabangsa UTM juga turut kembali meyumbang bakti di negara asal berbekalkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang pengajian di UTM.

Tahun 2021 menyaksikan salah satu pelan strategik yang diberikan fokus oleh Unit UTMAlumni adalah membina jaringan antarabangsa bersama alumni antarabangsa UTM. Ia merupakan usaha menyediakan pelbagai inisiatif dengan menjalin kerjasama dan menyantuni alumni antarabangsa.

Unit UTMAlumni akan mengadakan program-program yang berobjektifkan jalinan hubungan untuk menyemai semangat kekitaan dan kebersamaan alumni. Program jalinan hubungan yang dilaksanakan ini diharapkan dapat mengukuhkan hubungan alumni dan universiti demi kelestarian kecemerlangan UTM.

Ini termasuklah pada 16 Disember 2020 lalu, satu program Pre-Engagement bersama alumni antarabangsa Nigeria telah berjaya dijalankan secara dalam talian. Program ini telah berjaya menghimpunkan lebih kurang 117 orang alumni antarabangsa Nigeria dengan kerjasama Unit UTM Antarabangsa dalam menjayakan program ini.

Program ini merupakan program rintis dalam mewujudkan chapter-chapter antarabangsa pada masa akan datang.