UTM Lata Jernih

 

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal menawarkan satu lagi produk ekopelancongan di dalam kampus utamanya dengan pembukaan Lata Jernih, Hutan Rekreasi.

Perasmian Lata Jernih, Hutan Rekreasi UTM telah dilaksanakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar yang turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan UTM.

Lata Jernih, Hutan Rekreasi UTM telah dibangunkan dengan menggunakan tenaga kepakaran staf dan mahasiswa UTM melibatkan 52 orang pelajar dan 10 orang staf dari Jabatan Landskap, Fakulti Alam Bina (FAB) menerusi projek Job on Campus (JoC) UTM dengan kerjasama Unit Kampus Ekopelancongan, Pejabat Harta Bina (PHB) dan Pusat Kerjaya UTM.

JoC merupakan satu skim latihan peningkatan diri yang dilaksanakan dengan penyediaan peluang latihan dalam pelbagai bidang secara sambilan kepada semua pelajar aktif UTM. Skim ini bertujuan untuk menghasilkan modal insan yang holistik dengan memberi nilai tambah, meningkatkan kemahiran dan membentuk personaliti pelajar sebagai persediaan melangkah ke alam kerjaya bagi memperkasa kebolehpasaran graduan. Melalui JoC, pelajar tidak dianggap sebagai pekerja dan tidak tertakluk kepada Employment Act yang melayakkan mereka memperoleh semua hak sebagai seorang pekerja. Sebaliknya, pelajar dikenali sebagai Pelatih JoC dan dilindungi insurans selama mereka menjadi pelajar universiti.

Pembukaan Lata Jernih berkuat kuasa mulai 21 Mei 2017 di dalam kampus UTM akan mampu membawa satu lagi dimensi baharu dalam inisiatif Kampus Ekopelancongan UTM yang telah diperkenalkan sejak 2009. Buat permulaan sehingga tempoh yang akan ditetapkan kemudian, caj masuk untuk ke Lata Jernih, Hutan Rekreasi UTM adalah sebanyak RM 1.00 seorang untuk semua kategori pengunjung dan dibuka pada setiap hari mulai jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang.

Nama Lata Jernih diilhamkan daripada perkataan lata di dalam bahasa Inggeris yang memberi makna cascade iaitu jeram yang airnya mengalir bertingkat dari tahap atas ke bawah. Airnya akan sentiasa jernih dan kaya dengan flora dan fauna tidak tercemar. Jatuhan air bertingkat itu mampu memberi kenyamanan minda dan sesuai juga untuk meditasi dan menyokong aktiviti pembelajaran dan rekreasi warga kampus dan sekitarnya.

Konsep pembinaan Lata Jernih mengekalkan persekitaran semulajadi, dibina secara manual tanpa penggunaan peralatan-peralatan berat dan tidak merosakkan persekitaran. Bahan binaan semulajadi juga turut digunakan termasuklah batu dan kayu yang terdapat di sekeliling Lata Jernih. Di samping itu juga, pokok-pokok hutan seperti tongkat ali, gaharu, jelutong, cengal, jering, palas hutan turut ditanam di sekitar kawasan ini agar bersesuaian dengan suasana hutan. Terdapat satu unit wakaf yang diletakkan di kawasan ini untuk kemudahan pengunjung berehat dan bersantai sambil menikmati pemandangan persekitaran Lata Jernih.

Kedudukan Lata Jernih yang terletak di lokasi yang strategik di dalam Hutan Rekreasi UTM turut memberikan nilai tambah kepada aktiviti-aktiviti rekreasi di dalam satu tempat dengan pengunjung / peserta boleh menganjurkan pelbagai program meliputi perkhemahan dan motivasi, menginap di Rumah Kampung, merentas hutan sambil menikmati flora dan fauna sekitar Hutan Rekreasi seluas 53 hektar, All Terrain Vehicle (ATV), paintball, memanah dan pelbagai lagi.