Pada 4 Februari 2026 (Rabu), bertempat di Dusun 2, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, telah berlangsung Program Gotong-Royong Siri 1/2026: Penanaman Nanas MD2 (Fasa 2) dengan sambutan yang amat menggalakkan. Program ini berjaya merekodkan hampir 330 orang pendaftaran dalam kalangan staf UTM Johor Bahru yang hadir bagi menjayakan inisiatif kelestarian kampus ini. Pelaksanaan Fasa 1 yang telah berlangsung di Johor Bahru pada 15 Oktober 2025 telah memberikan impak positif dan seterusnya mendorong sambutan berterusan yang memberangsangkan bagi pelaksanaan Fasa 2.
Program ini diketuai oleh Encik Mohd Afizan bin Alang, Pengarah Seksyen Kelestarian dan Keindahan Kampus, Bahagian Pengurusan Aset, dan telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan). Turut hadir ialah Prof Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin bin Musa, Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset; Prof Yusof bin Boon, Pengerusi Bahagian Pemajuan Universiti serta wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Malah, kehadiran staf dari pelbagai jabatan seluruh UTM mencerminkan sokongan padu warga universiti terhadap agenda kelestarian yang semakin kukuh dalam budaya organisasi universiti.
Aktiviti penanaman sebanyak 8,000 benih nanas MD2 yang dilaksanakan secara gotong-royong ini oleh staf UTM Johor Bahru yang hadir. Selain menyokong usaha penghijauan kampus, program ini turut menjadi platform untuk memupuk semangat kerjasama, kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam suasana yang harmoni dan santai.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JTNCP dalam mengoptimumkan penggunaan tanah dalam kawasan kampus bagi aktiviti pertanian berimpak tinggi yang berpotensi memberikan pulangan jangka panjang kepada universiti. Inisiatif ini secara langsung menyokong pengurusan dusun UTM secara mampan serta memperkukuh peranan kampus sebagai model komuniti lestari. Selain itu, program ini menjadi salah satu usaha pengurangan Jejak Karbon institusi sebanyak 30% sebagaimana yang telah dirangka dalam Pelan Strategik Ascend 2030.
Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2: Sifar Kelaparan, SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari, serta SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), program ini membuktikan komitmen UTM dalam mengintegrasikan kelestarian, pertanian dan penglibatan komuniti kampus. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua staf JTNCP, serta warga UTM yang terlibat bersama terus menyemai sifat kebersamaan dalam usaha penghijauan kampus demi masa depan yang lestari.

