UTM Johor Bahru –  24 Ogos 2020 

Majlis Citra Karisma 2019 UTM

Sistem Pengurusan Bidaan Nombor Pendaftaran Khas Unit Endowmen UTM @ UTMeBID dinobatkan tempat kedua bagi Anugerah Inovasi Naib Canselor 2019 yang merupakan anugerah yang berprestig yang disampaikan pada Majis Citra Karisma 2019 yang telah diadakan pada 24 Ogos 2020 bertempat di Dewan Sultan Iskandar UTM Johor Bahru.  Merangkul hadiah RM3,000 berserta Sijil Penyertaan.  Majlis tersebut dirasmikan oleh YBhg. Naib Canselor UTM Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar. 

Sistem UTMeBID yang telah dibangunkan oleh Unit Endowmen, Universiti Teknologi Malaysia, merupakan satu inovasi berkaitan pembangunan Sistem Pengurusan Bidaan Nombor Pendaftaran Khas “UTM” secara atas talian.  Dalam pembangunan sistem ini, Endowmen UTM telah mendapat bantuan dan kerjasama daripada beberapa Pusat Tanggung Jawab (PTJ) sama ada di dalam atau di luar UTM, antaranya UTM Digital, Jabatan Bendahari, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan, Putrajaya, dan Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Johor.  Sistem UTMeBID telah dibangun dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga (3) bulan, dan penggunaannya secara rasmi telah dilancarkan oleh Yang Berhormat  Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia, pada 2 Disember 2019, di Residensi, UTM Kuala Lumpur.

 

Sistem UTMeBID dengan menggunakan database (oracle) telah berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan nombor pendaftaran khas “UTM” kerana semua urusan penjualan nombor pendaftaran khas “UTM” dilakukan secara atas talian dan boleh diakses secara online real time di mana-mana sahaja, dan tanpa mengira masa.  Sistem UTMeBID merupakan satu kreativiti tadbir urus yang cekap dan lengkap, amat berkesan kerana dapat menganalisis dan mengeluarkan laporan dengan cepat dan tepat, serta menggunakan sumber manusia yang minima secara efektif.  Sistem ini juga sangat relevan dan signifikan pada era teknologi maklumat dan komunikasi kerana semua urusan dilakukan secara atas talian dan tiada penggunaan kertas.  Malah, selain menjimat kos dan tenaga kerja, serta mesra alam sekitar, sistem UTMeBID telah berjaya menjana dana sebanyak hampir RM1.5 juta kepada UTM dalam tempoh enam (6) bulan penggunaannya (Disember 2019 – Mei 2020). 

Pembangunan dan penggunaan Sistem UTMeBID telah memberi sembilan (9) manfaat kepada UTM, iaitu (1) Menonjolkan kepakaran UTM dalam pembangunan sistem dan telah mendapat pengiktirafan daripada Universiti Awam lain di Malaysia, (2) Menyerlahkan sinergi beberapa PTJ di dalam dan luar UTM, (3) Menunjukkan prestasi yang cemerlang walaupun dibangun dalam tempoh yang relatif singkat (tiga bulan), (4) Sistem yang mesra pengguna dan mesra alam (paperless), (5) Membantu penjanaan dana kepada UTM, (6) Merapatkan hubungan dan mengembalikan kenangan bermakna kepada UTM darpada staf, pelajar, alumni dan pesara UTM, serta orang awam, (7) Membantu penjenamaan “UTM” melalui plat nombor pada kenderaan  yang bergerak di atas jalan raya seluruh negara, (8)  Menjadikan UTM sebagai Universiti Awam pertama di Malaysia yang menjual nombor pendaftaran khas, dan (9) Sistem ini telah membantu pencapaian empat (4) Bidang Tumpuan Utama (KFA) UTM, iaitu KFA 2:  Kecemerlangan Dalam Penyelidikan serta Libat Sama Industri dan Komuniti, KFA 3: Kelestarian Kampus, Infrastruktur, Sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi, KFA 5: Pemajuan dan Pembangunan Bisnes Untuk Kelestarian Kewangan, dan KFA 6: Kesohoran Global dan Penjanaan.