JOHOR BAHRU 26 Mac – Johor Port Berhad menyumbang sebanyak RM5 juta kepada Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadikan jumlah terkumpul tabung tersebut meningkat kepada RM53 juta sejak ditubuhkan pada tahun 2009.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengerusi Johor Port Berhad, Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman kepada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dalam Majlis Perasmian UTM-Industry Pasir Gudang Community Engagement di padang Sekolah Kebangsaan Masai, di sini baru-baru ini.
Majlis itu disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut melancarkan penjenamaan semula Pusat Teknologi Marin kepada UTM-Johor Port Marine Technology Center.
Zaini berkata, penubuhan tabung berkenaan selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang menyarankan institusi pengajian tinggi awam menjana pendapatan sendiri.
“Sumbangan berkenaan digunakan untuk kegunaan biasiswa pelajar Ijazah Sarjana Muda UTM kira-kira RM12,000 setahun. Selain itu, sumbangan tersebut juga digunakan untuk menampung perbelanjaan aktiviti penyelidikan, penajaan Kursi Profesor, penerbitan bahan saintifik dan pelaksanaan program berimpak tinggi.
“Sehingga kini, kutipan tabung itu berjumlah RM53 juta dan sebanyak 550 penuntut mendapat manfaat daripadanya. Malah kami turut sasarkan peningkatan 30 peratus jumlah kutipan tahun ini,” katanya.
Program komuniti tersebut juga menyaksikan sebanyak 60 penuntut UTM berkampung selama empat hari di Kampung Sepakat, Masai dekat sini, bermula Khamis lalu.
UTM-Industry Pasir Gudang Community Engagement diadakan dengan tujuan menggalakkan penuntut dan kakitangan UTM melakukan kerja amal yang memberi nilai tambah dalam pembangunan modal insan serta mengukuhkan hubungan warga kampus dengan penduduk setempat.
-Sumber: Utusan Malaysia